PROTON TERBARU
Model baru Proton yang namanya masih dirahsiakan, akan dijual pada harga di bawah RM80,000 seunit bagi enjin 1.8 liter dan bawah RM95,000 bagi enjin 2.0 liter.
Terdapat 3 varian enjin MIVEC yang disediakan iaitu model 1.8 liter menggunakan transmisi manual & transmisi automatik serta model 2.0 liter dengan transmisi auto.
Pada Khamis ini, orang ramai yang berminat memiliki kereta yang dikenali sebagai model pengganti Waja (Proton INSPIRA) ini boleh membuat tempahan di seluruh rangkaian Proton Edar dengan bayaran pendahuluan RM1,000. Walau bagaimanapun, nama model kereta yang diberi nama kod P3-90A ini juga akan diumumkan esok yang dipercayai mendapat 'inspirasi daripada nama tempatan,' manakala pelancaran rasminya ke pasaran ialah pada 10 November ini.
Model ini adalah versi ditukar lencana daripada Mitsubishi Lancer (nama beta version = Proton INSPIRA) dengan kendalian dan sistem gantungan (suspension) dipertingkatkan oleh Proton dan sentuhan 'pemanduan sebelah kanan Lotus' untuk disesuaikan dengan permukaan jalan serta gaya pemanduan tempatan.
Semalam, para pengedar Proton telah dibawa memandu uji kereta ini, manakala hari ini, sekumpulan wartawan pemotoran termasuk Utusan Malaysia telah memandu ujinya dari Pusat Kecemerlangan Proton di sini sehingga ke Genting Highlands. Difahamkan, Proton meletakkan sasaran untuk menjual lebih 1,000 unit sebulan kereta ini dengan jangkaan versi 1.8 liter transmisi automatik bakal menjadi pilihan utama.
Berdasarkan penelitian Utusan Malaysia, terdapat pengubahsuaian minimum dibuat ke atas kereta ini iaitu pada bahagian jeriji depan dan bamper belakang berbanding Lancer.
Kereta ini disasarkan kepada pengguna Proton Waja dan Persona serta model-model jenama lain yang sekelas dengannya, yang mahu menaik taraf kepada kereta baru yang bergaya sport tetapi tetap sesuai untuk keluarga.
Proton menawarkan penghantaran berubah berterusan (CVT) dengan sistem kawalan elektronik kenderaan pintar dan inovasi (INVECS-III) dalam varian Inspira.
Antara ciri-ciri praktikal yang boleh diharapkan pelanggan daripada model baharu ini termasuklah kruis auto, lampu automatik dan pengesan hujan, sistem penyaman udara automatik penuh dengan sistem kawalan cuaca bagi penumpang dihadapan dan belakang, dan beg udara keseluruhan bagi keselamatan penumpang.
"Proton Inspira" tampil dengan empat warna -- Putih, Hitam, Perak dan Merah.










